Kenyataan Akhbar Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Miri, Sarawak 2017

by YSS Admin / 10 February 2017 / No Comments

Yayasan Sukarelawan Siswa Teroka Miri

Putrajaya, 10 Februari 2017 – Memperkenalkan Malaysia sebagai hub pendidikan yang melahirkan sukarelawan global merupakan salah satu objektif utama penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). YSS milik 100% Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memulakan misi sulung pada tahun 2017 dengan menganjurkan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Miri Sarawak bermula 8 hingga 26 Februari 2017 khas kepada mahasiswa terpilih, untuk melaksanakan misi yang berkonsepkan ‘immersion’, ‘inclusiveness’ dan ‘right volunteers for the right job’. Misi ini akan disertai oleh 121 sukarelawan siswa dari Universiti Awam (UA), Universiti Swasta (US), Politeknik, Kolej Komuniti dan Guru Pelatih Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Lebih menarik lagi misi sukarelawan pada kali ini turut melibatkan 4 mahasiswa dari negara ASEAN iaitu 2 mahasiswa dari Lao PDR dan 2 mahasiswa dari Vietnam sejajar dengan hasrat YSS untuk mempromosikan semangat ASEAN dalam kalangan Mahasiswa.

“Selari dengan Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan oleh YSS dilihat mampu melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di peringkat global” kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.

“Terdahulu YSS telah menjalankan beberapa misi di kawasan pedalaman Sarawak, seperti di Batang Lupar, Sebauh di Bintulu, Song di Kapit dan juga di kawasan pedalaman di Kuching, Sarawak. Bahagian Miri dipilih sebagai lokasi untuk menjalankan misi sukarelawan kali ini kerana kawasan pedalaman Miri merupakan bahagian utama terakhir di Sarawak yang belum diterokai YSS. Selaras dengan objektif YSS untuk mengembangkan sayap ke seluruh negeri Sarawak dalam keterlibatan komuniti tempatan selain merapatkan jurang kehidupan bandar dan luar bandar di Malaysia” kata Pengerusi YSS, Dato’ Zuraidah Atan.

Misi kali ini akan melibatkan 5 buah kampung di Rumah Panjang (Rh) Buddy dan Rh Rawing di daerah Beluru, Rh Ayai dan Rh Mentali di Bekenu dan di Kampung Lajong, Niah. Sepanjang pelaksanaan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Miri, Sarawak, sukarelawan siswa akan mengadakan sesi ‘Fun Learning’ yang menekankan penguasaan subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Selain itu, sukarelawan siswa juga akan membantu membaiki fasiliti sekolah dan kawasan kampung seperti menyimen laluan pejalan kaki serta melukis mural dan mengecat bangunan sekolah. Program pendidikan kesihatan dan saringan kesihatan percuma juga akan dijalankan untuk penduduk kampong.

Kluster Komuniti – Pada misi kali ini para sukarelawan siswa di bawah kluster komuniti akan memasang sistem penapais air di Kampung Lajong, Niah. Pemasangan sistem penapisan air ini dijangka akan memberi maanfaat kepada penduduk kampung tersebut. Selain itu para sukarelawan juga akan membaiki laluan pejalan kaki di Sek. Keb. Sungai Laong yang dilihat mampu memberi keselesaan kepada warga sekolah berkenaan.

Kluster Pendidikan – Pendidikan merupakan salah satu kluster utama yang dijalankan sewaktu misi berlangsung. Dibawah kluster ini para sukarelawan akan mengaplikasikan konsep ‘Fun Learning’ yang menekankan penguasaan subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Penggunaan konsep ‘Fun Learning’ ini dilihat sangat berkesan dalam menarik minat para pelajar untuk mempelajari sesuatu matapelajaran. Selain itu, untuk misi kali ini para sukarelawan siswa dilantik sebagai duta Petrosains yang bertujuan untuk memperkenalkan dan menarik minat pelajar untuk mempelajari konsep sains secara kreatif dan lebih menarik dengan pengenalan aktiviti yang lebih menjurus kepada eksperimen dan ‘hands-on’. Seterusnya sepanjang misi ini berlangsung sukarelawan juga akan mengadakan program ‘Bicara Siswa’ yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyrakat kampung tentang kepentingan serta kebaikan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Setiap sukarelawan siswa dari Universiti Awam dan Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan IPGM akan memberi penerangan kepada penduduk kampung tentang institusi masing-masing dan juga cara untuk memohon serta memberi penerangan bentuk bantuan yang boleh mereka pohon untuk melanjutkan pelajaran kelak.

Kluster Kesihatan – Sewaktu Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Miri, Sarawak ini juga sukarelawan siswa akan berkolaborasi bersama pihak klinik kesihatan di setiap daerah untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada seluruh penduduk kampung dan warga sekolah. Aktiviti ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penduduk kampung dan warga sekolah tentang kepentingan menjaga kesihatan untuk kesejahteraan penduduk kampung. Selain itu di bawah kluster kesihatan juga para sukarelawan akan mengadakan aktiviti yang mendidik ke arah kepentingan menjaga kesihatan seperti cara memberus gigi dan membersihkan tangan dengan betul bersama-sama murid di sekolah bagi mendidik kepentingan menjaga kesihatan dan memberi pengetahun kepada pelajar sekolah tentang kesan buruk apabila mereka tidak mementingkan kesihatan serta kebersihan diri.

Kluster ICT dan Keusahawanan (Entrepreneurship) – Dibawah kluster ini sukarelawan siswa merupakan ‘Digital Ambassador’ pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang akan memberi pendedahan serta tunjuk ajar kepada penduduk kampung tentang program dibawah MDEC iaitu E-Rezeki dan E-Usahawan. Program ini dapat memberi kesedaran serta tunjak ajar kepada mereka bagi menjana pendapatan melalui penggunaan ICT.

Misi dimulai dengan sesi ‘Pre-Departure Training’ iaitu latihan persediaan sebelum misi di Akademi Pendidikan Tinggi (AKEPT) dua hari sebelum berlepas ke Sarawak, Bumi Kenyalang. Majlis “Flag-Off” Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN 2017 di Miri, Sarawak akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching pada  hari Jumaat, 10 Februari di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Leave a Reply