Laporan Siswa MSS YSS-ASEAN ke Miri, Sarawak: Pagi pertama di Rumah Ayai.

by YSS Admin / 22 February 2017 / No Comments

Riiingggg!!! Jam penggera pada telefon pintar bergema tepat pada masa yang telah ditetapkan, 530 pagi. Tangan mamai meraba telefon untuk mematikan penggera tersebut. Letak kepala kembali… BANGUNN! BANGUNN!

              Saya terkejut. Capai telefon melihat jam. Pukul 600 pagi. Dengan pantas saya membuka lampu dan membuat aktiviti kendiri. Tepat pukul 630 pagi saya bergerak ke pintu utama IPG Sarawak Kampus Miri. Setelah meletak beg secara tersusun bersama beg-beg peserta lain, saya terus menghala ke kafeteria. Kelihatan rakan-rakan sukarelawan telah memenuhi ruang. Menu pagi ini: Mee goreng dan air teh kosong. Kami juga dibekalkan Encik Runiy dengan ubat pencegah malaria. Hasil carian di internet, ubat tersebut juga boleh mencegah jerawat. Ada nilai tambah disitu.

                   Berdasarkan arahan, sukarelawan-sukarelawan yang ditempat di Rumah Panjang Ayai (Rh Ayai) akan bertolak lewat berbanding penempatan-penempatan lain. Ini kerana majoriti penghuni Rh Ayai adalah beragama Kristian (Sidang Injil Borneo), dan memandangkan hari ini adalah hari Ahad, kebanyakan penghuni akan ke gereja, dan rumah akan kosong. Oleh yang demikian, pada jam 930 pagi barulah kami bertolak ke Rh Ayai.

             Perjalanan ke Rh Ayai adalah pengalaman yang agak mendebarkan, dari dua sudut pandang. Pertama, perjalanan sememangnya bermula dengan selesa, namun semakin hampir kami ke destinasi, perjalanan itu menjadi semakin kasar. Kami terhuyung hayang terlompat-lompat di dalam lori. Jika boleh saya anggarkan magnitudnya, ia berkadaran 245 gegaran seminit. Debaran kedua adalah memerhatikan signal telefon pintar saya. Semakin lama semakin hilang capaian. Dari 4G ke 3G ke Edge ke GPRS ke R (restricted). Tetapi ada juga perkara yang agak melucukan. Sahabat Sukarelawan bernama Goh terus tertidur secara duduk, dan langsung tidak terkesan dengan gegaran dan hentakan yang berlaku. Seolah patung tiada perasaan.

               Pada kira-kira jam 1130 pagi, kami tiba di Rh Ayai. Kedatangan kami diperhatikan oleh para penghuni. Kami pantas turun dan mengeluarkan muatan dari trak. Setelah mengucapkan selamat jalan kepada pemandu lori, kami naik keatas rumah dan bertemu dengan tuai rumah iaitu Tuan Ayai. Setelah mengucapkan selamat datang, kami terus dibahagikan kepada bilik-bilik yang sanggup menerima kami. Saya memilih untuk bersama Goh ditempatkan di bilik tujuh, iaitu bilik keluarga Encik Badi. Tanggapan saya hancur berkecai apabila masuk ke bilik yang ditetapkan. Selama ini saya menggambarkan bilik dengan maksud ‘bilik’. Namun bilik ini sebenarnya lebih bercirikan ‘rumah’. Bilik nombor tujuh ini selebar 20 kaki dan panjangnya saya anggarkan lebih 100 kali. Ini mungkin juga ciri-ciri khas Rumah Ayai dan berbeza dengan rumah-rumah panjang yang lain.

               Mungkin pembaca tidak tahu jika saya nyatakan bahawa kepanjangan rumah-rumah panjang ini kadang-kadang berubah. Sebenarnya kepanjangan rumah akan bertambah apabila sebuah bilik ditambah di satu hujung rumah. Bermakna, rumah panjang akan maksimum kepanjangannya apabila keluasan tanah tidak lagi mencukupi. Oleh kerana ini juga, lebar bagi setiap bilik kadang berbeza-beza, bergantung kepada kemampuan tuan bilik. Nama rumah panjang juga boleh berubah. Sebagai contoh, nama Rh Ayai adalah kerana nama tuai rumah ialah Ayai. Jika tuai rumah diganti oleh orang lain, contohnya bernama Adam. Maka nama rumah juga bertukar menjadi Rh Adam.

           Selepas berkenalan dengan keluarga Encik Badi dan melakukan aktiviti kendiri, kami mula berbincang tentang aktiviti-aktiviti yang dicadangkan sesuai bagi setiap kluster. Terlebih dahulu meninjau keadaan rumah panjang dan persekitarannya terlebih dahulu. Tepat Jam 230 petang pula kami bertolak ke Sekolah Kebangsaan Sungai Saeh. Jujur ini merupakan sekolah dengan panorama tercantik. Bayangkan sebuah sekolah diatas bukit, dimana, bukit itu mempunyai sungai yang mengalir ditepinya. Padang sekolah pula hijau terbentang dibawah bukit.

Sukarelawan siswa bergambar kenangan di hadapan Rh Ayai - teruja dengan pengalaman baru di rumah panjang.

Sukarelawan siswa bergambar kenangan di hadapan Rh Ayai – teruja dengan pengalaman baru di rumah panjang.

 

ayai 2

Panorama indah dalam perjalan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Saeh di atas bukit.

        Setelah kami berpuas hati dengan tinjauan yang dilakukan, kami bertolak pulang kerana perlu bergegas ke Rumah Mentali yang berada kira-kira 30 minit perjalanan. Namun kerana kami berjalan dengan berlenggang kangkung umpama itik pulang petang, kami hanya tiba dalam masa sejam. Tanpa membuang masa kami bersama sukarelawan-sukarelawan dari Rh Mentali menuju pula Dewan Saeh bagi melakukan persiapan dewan untuk majlis perasmian pada esok hari. Kerusi disusun sepanduk digantung, kami pun pulang ke Rumah Ayai. Kali ini kami tidak berlenggang. Setiausaha merekod waktu perjalanan 30 minit sahaja.

          Pada malam harinya, kami mendapat tahu bahawa hari ini sebenarnya merupakan hari ulangtahun kelahiran tuai rumah yang ke-47. Satu majlis doa diadakan diruai rumah. Setelah majlis tamat, kami dipanggil untuk datang duduk bersama penghuni rumah. Kami duduk berselang-seli dengan penghuni. Saya duduk disebelah encik Lucas. Kami berbual panjang, dan beliau menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang saya lontarkan. Kami melakukan post mortem pada jam 930 malam bagi menghormati adat kebiasaan rumah yang mula senyap apabila masuk jam 10 malam. Tamat, kami beramai-ramai membuat laporan harian masing-masing dengan cuba melakukannya dengan sesunyi yang mungkin.


Laporan ditulis oleh Sukarelawan Adam bin Yahya dari Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Leave a Reply