YSS-ASEAN GREEN SUMMER VOLUNTEER CAMPAIGN 2017 – Kenyataan Akhbar

by YSS Admin / 03 August 2017 / No Comments

Putrajaya,   6 Julai 2017 – Memperkenalkan Malaysia sebagai hub pendidikan yang melahirkan sukarelawan global merupakan salah satu objektif penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). YSS 100% milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan misi sukarelawan siswa yang ketiga pada tahun ini dengan penganjuran Misi Sukarelawan Siswa YSS – ASEAN Green Summer Volunteer Campaign ke Vietnam, 2017 bermula 12 Julai 2017 hingga 16 Ogos 2017. Penganjuran misi ini adalah khas kepada mahasiswa terpilih yang telah melalui sesi temuduga bagi mengaplikasikan nilai “right volunteers for the right job”, juga misi yang berkonsepkan “immersion” dan “inclusiveness”.

Bagi tahun keenam berturut-turut, misi sukarelawan hasil kerjasama YSS dengan Ho Chi Minh City Youth Union (HCMCYU) ini melibatkan 50 siswa Malaysia dari Universiti Awam (UA), Universiti Swasta (US), Politeknik, Kolej Komuniti dan Guru Pelatih Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Green Summer Volunteer Campaign Vietnam ini merupakan  aktiviti tahunan yang disertai oleh lebih 50,000 sukarelawan siswa Vietnam di seluruh negara tersebut. Malaysia amat berbangga di atas pengiktirafan sebagai negara asing pertama yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam kempen berkenaan sejak tahun 2012. Pada tahun ini, Green Summer Volunteer Campaign dimeriahkan lagi dengan kehadiran Sukarelawan Siswa dari Thailand.

 

“Selari dengan Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan oleh YSS dilihat mampu melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di peringkat global” kata YB Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

 

“Terdahulu YSS telah menjalankan beberapa misi di wilayah Ho Chi Minh iaitu di daerah Binh Chanh, Can Gio, Cu Chi, Nha Be, dan juga Tan An. Tahun ini, YSS telah memilih daerah Hoc Mun, daerah Cu Chi dan daerah 12 sebagai lokasi kerana sosioekonominya dan juga projek sukarelawan berimpak tinggi yang dapat dijalankan. Selaras dengan objektif YSS untuk melahirkan Pemimpin Sukarelawan Siswa di peringkat global, pengalaman bersukarelawan dengan melakukan kerja-kerja sukarelawan yang berat dan berimpak tinggi semestinya akan membentuk Sukarelawan Siswa dengan ketahanan diri, mental dan fizikal lebih lebih lagi ianya dilakukan di dalam bulan Syawal ,” kata Pengerusi YSS, Dato’ Zuraidah Atan.

 

 

Sepanjang pelaksanaan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Green Summer Volunteer Campaign ini, Sukarelawan Siswa akan membantu untuk membina jalan, memperbaiki peralatan sekolah yang telah rosak, membersihkan dan menceriakan kawasan sekolah serta kawasan penduduk. Selain itu, mereka juga akan mengadakan sesi “Fun Learning” yang akan menekankan penguasaan subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Program pendidikan kesihatan dan saringan kesihatan percuma juga akan dijalankan untuk penduduk kampung.

 

 

Kluster Komuniti – Pada misi kali ini para sukarelawan siswa di bawah kluster komuniti akan membantu untuk membina jalan, penyimenan tapak perhimpunan, mempercantikkan “youth park”. Projek-projek lain adalah seperti membaikpulih peralatan yang rosak, melukis mural dan menceriakan sekitar kawasan sekolah.

 

Kluster Pendidikan – Pendidikan merupakan salah satu kluster utama yang dijalankan sewaktu misi berlangsung. Dibawah kluster ini para sukarelawan akan mengaplikasikan konsep “Fun Learning” yang menekankan penguasaan subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Penggunaan konsep “Fun Learning” ini dilihat sangat berkesan dalam menarik minat para pelajar untuk mempelajari sesuatu matapelajaran.

 

Kluster Kesihatan – Sewaktu Misi Sukarelawan Siswa YSS – ASEAN Green Summer Volunteer Campaign ke Vietnam  ini juga, Sukarelawan Siswa akan berkolaborasi bersama pihak klinik kesihatan di setiap daerah untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada seluruh penduduk kampung dan warga sekolah. Aktiviti ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penduduk kampung dan warga sekolah tentang kepentingan menjaga kesihatan untuk kesejahteraan penduduk kampung. Sukarelawan Siswa juga akan mengadakan aktiviti yang mendidik ke arah kepentingan menjaga kesihatan seperti cara memberus gigi dan membersihkan tangan dengan betul mengikut standard World Health Organisation (WHO) bersama-sama murid di sekolah bagi mendidik kepentingan menjaga kesihatan dan memberi pengetahuan kepada pelajar sekolah tentang kesan buruk apabila mereka tidak mementingkan kesihatan serta kebersihan diri.

 

Kluster ICT dan Keusahawanan (Entrepreneurship) Dibawah kluster ini Sukarelawan Siswa memberikan pendedahan kepada penduduk kampung, serta warga sekolah termasuk murid-murid dan guru mengenai kemahiran asas IT secara percuma. Golongan yang dikenalpasti seperti golongan surirumah dan peniaga kecil-kecilan juga didedahkan dengan “internet marketing”  untuk membantu mereka menjana kewangan dengan lebih mudah menggunakan capaian Internet dari rumah. Pendekatan sebegini dilihat mampu membentuk masyarakat “Celik IT” di negara ASEAN.

 

Misi ini dimulai dengan sesi “Pre-Departure Training” iaitu latihan persediaan sebelum misi di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang. Sukarelawan Siswa telah berlepas ke Vietnam pada 15 Julai 2017. Majlis Flag-Off telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Leave a Reply