[KENYATAAN AKHBAR: MISI SUKARELAWAN SISWA YSS KE DAERAH SANGTHONG, VIENTIANE, LAO PDR 2017]

by YSS Admin / 13 September 2017 / No Comments

Kenyataan Akhbar – Untuk Keluaran Segera

PUTRAJAYA – Seramai 50 Sukarelawan Siswa dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi termasuk Universiti Awam, Universiti Swasta, Kolej Komuniti, Institut Pendidikan Guru dan Politeknik akan mengambil bahagian dalam Misi Sukarelawan Siswa YSS-MoES ke daerah Sangthong, Lao PDR 2017 selama dua minggu mulai 14 September. Penganjuran misi ini adalah khas kepada mahasiswa terpilih yang telah melalui sesi temuduga bagi mengaplikasikan nilai “right volunteers for the right job” dan juga konsep “immersion” dan “inclusiveness”.

Dalam misi Sukarelawan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Sukan (MoES) Lao PDR, Sukarelawan Siswa YSS akan bergabung dengan 50 Sukarelawan Siswa Lao PDR dari National University of Laos (NUOL) untuk menjalankan kerja kesukarelawanan di tiga buah kampung – Ban Samphanna, Ban Paktone dan Ban Thanasa, di daerah Sangthong, Vientiane, Lao PDR. Misi Sukarelawan Siswa ini melibatkan pelbagai agensi korporat, pendidikan dan kerajaan seperti National University of Laos (NUOL), Provincial Education Service (PES) Vientiane, District Education Bureau (DEB) Sangthong, Pejabat Gabenor Sangthong dan Kedutaan Malaysia di Laos.

YSS, entiti milik penuh Kementerian Pendidikan Tinggi telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan MoES tiga tahun lalu bagi melaksanakan misi berkenaan. Bertitik tolak daripada perjanjian tersebut, YSS telah menjayakan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Luang Prabang, Lao PDR (2014), Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Savannakhet, Lao PDR (2015) dan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Champasak, Lao PDR (2016). Selain itu, YSS juga telah menjadi tuan rumah dalam Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Tawau, Sabah (2016) yang turut disertai oleh dua orang pelajar dari National University of Laos (NUOL). Melalui kerjasama ini, YSS kekal komited dalam menyemarakkan semangat ASEAN menerusi kerjasama di bidang kesukarelawanan khususnya di kalangan mahasiswa.
Pengerusi YSS, Dato’ Zuraidah Atan berkata, misi ini penting untuk memperkasa Sukarelawan Siswa dalam pelbagai kemahiran insaniah melalui aktiviti kesukarelawanan. Ini juga selaras dengan Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi (PPPM (PT)) yang memberi tumpuan kepada pembentukan pelajar yang bersifat holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

Para Sukarelawan Siswa akan memberi fokus kepada kluster utama YSS iaitu pendidikan, kesihatan, komuniti, agribio, teknologi maklumat ICT dan pengurusan bencana. Melalui kluster pendidikan, Sukarelawan Siswa juga akan menjalankan sesi “fun learning” yang bertujuan untuk menerapkan minat pelajar sekolah menengah di daerah itu untuk mempelajari bahasa Inggeris serta mewujudkan keadaan yang ceria dan harmoni di dalam bilik darjah. Dari aspek kesihatan, penduduk tempatan akan mendapat faedah daripada Sukarelawan Siswa dengan latarbelakang bidang perubatan dan kesihatan dengan kerjasama Klinik Kesihatan di daerah tersebut melalui program pendidikan kesihatan dan juga saringan kesihatan percuma.

Terdahulu, misi ini dimulai dengan sesi “Pre-Departure Training” iaitu latihan persediaan sebelum misi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum berlepas ke Lao PDR. Upacara Penyerahan “Vest YSS” Kepada Chef de Mission Misi Sukarelawan Siswa YSS-MoES 2017 ke Daerah Sangthong, Vientiane, Lao PDR telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi dan Penaung YSS, Dato’ Seri Idris Jusoh, pada awal tengah hari tadi.

#YayasanSukarelawanSiswa
#KementerianPendidikanTinggi
#SoaringUpwards
#MisiYSS_Laos2017

Sidang Media bersama YB Dato' Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi selaku Penaung YSS

Sidang Media bersama YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi selaku Penaung YSS

Leave a Reply