KEPENTINGAN KESUKARELAAN #SOARINGUPWARDS

by YSS Admin / 04 January 2018 / No Comments

KEPENTINGAAN KESUKARELAAN #soaringupwards
Oleh: SAIFUDDIN ABDULLAH

HARI Sukarelawan Antarabangsa diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan disambut di seluruh dunia . Tujuannya ialah untuk memberi pengiktirafan terhadap kerja-kerja kesukarelaan dan sumbangan para sukarelawan.

Tetapi, kecuali sebahagian golongan sukarelawan dan aktivis sosial, hari tersebut tidak diraikan oleh ramai. Bahkan, tidak ramai yang mengetahui tentangnya. Pada masa yang sama, ramai pula yang menganggap semangat kesukarelaan telah seakan-akan mati.

Menurut Kamus Dewan, sukarela bermakna dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati. Manakala kesukarelaan membawa makna sikap sukarela. Jadi, kesukarelaan dapat dimaksudkan sebagai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah, dengan niat yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa pulangan kepada diri sendiri.

Dalam masyarakat tradisional, kesukarelaan antara lain dicerminkan konsep gotong-royong, dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat penyayang dan prihatin, seperti dalam kenduri-kendara, turun ke sawah, menguruskan sakit pening dan kematian, memindahkan rumah dan sebagainya.

Konsep gotong-royong dan bantu-membantu ini diperkukuhkan oleh item budaya seperti peribahasa yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Begitu sekali tradisi ini membudaya dalam masyarakat sehingga mereka yang tidak menyertainya diibaratkan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Kesukarelaan telah mengalami pengembangannya yang tersendiri. Kini, ia menyerlah dalam pelbagai bentuk. Daripada kerja-kerja sukarela secara sendirian kepada secara kumpulan. Daripada organisasi tidak formal kepada organisasi formal. Daripada peringkat kampung hingga peringkat kebangsaan. Dan dari dalam negeri hingga ke luar negara.

Bagaimanapun, kesukarelaan mungkin membawa makna yang berbeza kepada orang yang berbeza, kepada masyarakat yang berbeza, dan kepada zaman yang berbeza. Ia amat dipengaruhi oleh sejarah, politik, ekonomi dan budaya sesuatu kawasan dan zaman.

Tetapi, tidak kira kawasan atau zaman, sebenarnya, kesukarelaan sentiasa relevan. Ini adalah kerana, walau sebaik mana sekalipun sektor-sektor utama masyarakat dan negara (iaitu kerajaan dan perniagaan) melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, tetap akan wujud perkhidmatan dan barangan yang tidak dapat ditawarkannya dengan secukup.

Kerana itulah sepanjang perjalanan sejarah, pelbagai jenis organisasi kesukarelaan telah ditubuhkan oleh sama ada individu atau sekumpulan individu, yang bertujuan menyelesaikan masalah-masalah sosial serta membantu golongan yang kurang bernasib baik dan terpinggir iaitu dengan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan dan barangan-barangan yang tidak dapat dibekalkan dengan secukupnya oleh kerajaan dan perniagaan.

Organisasi-organisasi ini diberi pelbagai gelaran, sama ada oleh aktivisnya atau oleh masyarakatnya, seperti pertubuhan sukarela, badan amal, badan kebajikan, badan bukan kerajaan, badan bukan keuntungan, sektor ketiga dan masyarakat sivil. Sementara itu, aktiviti-aktivitinya turut diberi pelbagai gelaran, seperti kerja sukarela, kerja amal, bakti atau khidmat masyarakat, dan bakti atau khidmat sosial. Aktiviti-aktiviti ini pula dikaitkan dengan berapa ungkapan kemasyarakatan, seperti masyarakat penyayang, masyarakat prihatin, rakan masyarakat, kepedulian sosial, tanggungjawab sosial dan muafakat sosial.

Walaupun kerja-kerja kesukarelaan telah menjadi semakin kompleks, ia masih mengekalkan beberapa kunci utama yang membentuk ciri-ciri unik kesukarelaan. Terdapat tiga cirinya yang utama. Pertama, aktiviti tersebut tidak dilakukan untuk mendapatkan balasan kewangan. Bagaimanapun, gantian (reimbursement) untuk perbelanjaan dan sedikit bayaran sagu hati biasanya dibenarkan.

Kedua, aktiviti tersebut mestilah dilaksanakan secara sukarela iaitu mengikut kerelaan sipelakunya. Di sini terdapat juga ruang yang kabur misalnya dalam kes di mana sekolah atau institusi pengajian menganjurkan skim khidmat masyarakat yang menggalakkan dan kadangkala meminta, pelajar-pelajarnya terlibat dalam kerja kesukarelaan.

Dan ketiga, aktiviti tersebut mestilah mendatangkan manfaat kepada sesuatu kelompok masyarakat atau orang lain selain daripada sukarelawan itu sendiri. Bagaimanapun, hakikat bahawa kesukarelaan juga mendatangkan manfaat yang signifikan terhadap sukarelawan itu sendiri tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Cara melibatkan diri dalam kerja kesukarelaan berbeza daripada seorang ke seorang. Ada yang melibatkan diri secara individu. Ada yang melalui kumpulan atau organisasi. Manakala ada juga yang menjadi sukarelawan sepenuh masa, iaitu yang menyumbangkan sesuatu masa yang signifikan panjangnya, misalnya antara enam hingga dua belas bulan, atau sehingga dua tahun untuk sesuatu kerja kesukarelaan yang khusus.

Di samping itu, faktor yang menyebabkan seseorang itu terlibat dalam kerja kesukarelaan juga berbeza-beza. Tetapi, orang yang sama mungkin mempunyai lebih dari satu faktor yang menyebabkannya terlibat. Dan jika terdapat lebih dari satu faktor yang melibatkannya, maka faktor-faktor itu mungkin berkaitan dan bertindihan; faktor-faktor itu mungkin tidak dapat ditentukan kronologi atau prioritinya; dan jika keterlibatannya berpanjangan, maka ada kemungkinan yang faktor-faktornya akan bertambah. Manakala jika beliau kelesuan (burnout) lalu meninggalkan dunia kesukarelaan, maka faktor-faktornya mungkin yang lain-lain pula.

Antara faktor yang memotivasi seseorang untuk dalam kerja-kerja kesukarelaan ialah: Perjuangan sosial dan politik untuk menuntut kemerdekaan atau memperbaiki nasib anak bangsa; rasa prihatin yang timbul dalam diri untuk menaburkan bakti dan khidmat kepada masyarakat dengan berbuat sesuatu (biasanya dalam bentuk perkhidmatan); akibat pengalaman peribadi atau tragedi yang berlaku terhadap diri sendiri atau orang yang terdekat dan tersayang; ingin berbuat amal dengan memberikan sumbangan dalam bentuk wang atau barangan; untuk mendapatkan keredhaan Tuhan, iaitu mengikut ajaran agama; menyertai aktiviti kesukarelaan yang didokong oleh kerajaan atau beberapa buah kerajaan, iaitu menyahut seruan kerajaan; dan sebagai khidmat kepada negara.

Ini diterjemahkan melalui sumbangan yang tidak ternilai pentingnya kepada masyarakat. Contohnya ialah memberikan bantuan ketika bencana dan kecemasan; meningkatkan mutu pendidikan melalui kelas bimbingan, taman didikan kanak-kanak dan latihan kemahiran; menjalankan pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang seperti belia, alam sekitar, kepenggunaan, memerangi dadah, dan AIDS; menganjurkan kelas agama; menganjurkan aktiviti mengisi masa lapang; membantu mengatasi masalah sosial seperti kemiskinan, rasuah, dan ketidakadilan sosial; menyelesaikan isu-isu pekerja seperti hak berkesatuan, gaji dan cuti; melaksanakan latihan kepemimpinan untuk pemimpin pelapis, menjayakan program negara seperti Sukan Komanwel; dan menggerakkan bantuan kemanusiaan untuk Palestin, Bosnia, Kosova dan lain-lain.

Sayangnya, kini terdapat satu hakikat yang terpaksa ditelan, iaitu tradisi kesukarelaan kelihatan menjadi semakin pudar.

Banyak faktor yang mengakibatkan ini berlaku. Kebanyakan pengamat dan aktivis sosial menyatakan bahawa sebahagian besarnya ialah akibat budaya masyarakat kini yang semakin mementingkan kebendaan dan peribadi. Pendapat ini ada kebenarannya. Bagaimanapun, perlu juga dilihat beberapa faktor yang lebih teliti, yang sebahagiannya terdapat dalam corak, cara dan citra, sama ada dalaman atau luaran, dunia kesukarelaan itu sendiri.

Antaranya ialah terdapat sukarelawan/wati, terutamanya yang komited untuk berkhidmat sepenuh masa dalam sesuatu jangka masa tertentu, yang walaupun mempunyai niat yang mulia, tetapi kurang ilmu dan kemahiran yang sesuai untuk melaksanakan sesuatu perkhidmatan yang ingin atau telah diceburinya. Pada waktu yang sama, jika mereka berkhidmat melalui sesebuah organisasi kesukarelaan, organisasi itu pula tidak mempunyai kemampuan untuk memberikan latihan dan pendedahan yang secukupnya. Ini menyebabkan sukarelawan itu sendiri menjadi lesu dan perkhidmatannya yang separuh masak itu kurang meyakinkan masyarakat akan keperluannya.

Sebahagian daripada organisasi kesukarelaan tidak mempunyai sistem pengurusan, sokongan dana dan strategi pemasaran yang kukuh, manakala sesetengah organisasi kesukarelaan yang besar jumlah anggotanya terpaksa menjalankan terlalu banyak aktiviti sehingga kehilangan fokus. Kedua-dua perkara ini mengurangkan keberkesanannya.

Sementara itu, terdapat sebahagian organisasi kesukarelaan dipimpin oleh orang atasan seperti golongan istana, pemimpin politik atau korporat, sehingga menjadi elitis sifatnya. Ada kalanya terdapat muka-muka yang sama yang memimpin beberapa buah organisasi, di samping adanya pemimpin yang telah memegang sesuatu jawatan untuk satu tempoh masa yang amat lama, sehingga kelihatan seperti wujudnya kepentingan peribadi atau menjadikan organisasi kesukarelaan sebagai batu loncatan.

Bagi sesetengah ibu bapa dan pelajar, masa yang digunakan untuk kerja-kerja kesukarelaan dianggap mencuri masa yang sepatutnya digunakan untuk belajar atau mengulang kaji demi meraih keputusan peperiksaan yang paling cemerlang. Manakala bagi sesetengah pekerja muda, dan mereka yang berpendapatan rendah, setiap masa yang terluang digunakan pula untuk melakukan kerja lebih masa untuk menambah pendapatan.

Di samping itu, budaya wang telah begitu sekali mencengkam sehingga sukar sekali untuk menggerakkan sesuatu secara benar-benar sukarela. Kini, sebahagian daripada kerja yang dahulunya dijalankan secara sukarela oleh masyarakat atau organisasi, telah mula diswastakan. Budaya ini turut meresap ke kubu tradisi kesukarelaan seperti kenduri-kendara di mana katering mula menggantikan amalan memasak secara gotong-royong.

Sebahagian masyarakat pula telah menjadi begitu manja dengan kerajaan sehingga merasakan apa-apa sahaja kekurangan yang wujud itu akhirnya akan diselesaikan kerajaan. Oleh itu, jika ada inisiatif sukarela yang digerakkan untuk mengatasi kekurangan itu, mereka mengambil sikap tidak apa sahaja.

Bagaimanapun, gambaran yang sebenarnya tidaklah sepudar itu. Hakikatnya ialah setiap kali aktiviti kesukarelaan dianjurkan, dengan syarat ia dilaksanakan secara sistematik – dan tidak berbau politik – masih ramai yang tampil menabur bakti. Setulus kudus.

Di samping itu, terdapat ramai golongan profesional yang sedia menjadi sukarelawan. Masalahnya ialah kurangnya prasarana yang dapat menguruskan kesediaan mereka ini secara sistematik.

Pada waktu yang sama, walaupun benar bahawa terdapat sebahagian corak, cara dan citra kesukarelaan bentuk tradisional telah berkubur, tetapi sebenarnya, terdapat juga kesukarelaan bentuk baru yang telah lahir.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp…
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply