Guru Ibarat Pelukis Masa Depan Negara – Farah Nadzirah, Alumni Misi Sukarelawan Siswa ke Kapit, Sarawak 2014

by YSS Admin / 16 May 2018 / No Comments

Setiap tahun, tanggal keramat 16 Mei diraikan di setiap ceruk institusi pendidikan di seluruh negara, bagi menghargai jasa, pengorbanan dan sumbangan warga pendidik.

Merekalah golongan yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah, mengerah keringat untuk terus berbakti dalam membentuk dan mencorak anak bangsa dan seterusnya melahirkan cendikiawan pemikir masa depan negara. Saya sungguh kagum dengan semangat jitu mereka.

Meneliti puisi Sasterawan Negara, Dato’ Usman Awang, Guru Oh Guru (1979), setiap bait puisi itu penuh dengan makna tersirat. Terhenti saya seketika di bait puisi:

“Semakin terpencil duduknya di ceruk desa / Semakin bererti tugasnya kepada negara”

Pemandangan SK Sungai Tunoh, Kapit, Sarawak
Pemandangan SK Sungai Tunoh, Kapit, Sarawak

Misi sukarelawan siswa

Bertemankan angin sepoi bahasa, awan mendung berarak kelabu, sayup-sayup bunyi kenderaan di jalanan, kotak memori membawa saya kembali ke bulan November 2014, ketika saya menabur bakti sebagai sukarelawan siswa di Bumi Kenyalang.

Ketika itu, saya menyertai Misi Sukarelawan Siswa ke Kapit, Sarawak di bawah seliaan Yayasan Sukarelawan Siswa (hak milik penuh Kementerian Pendidikan Tinggi).

Saya memulakan perjalanan bersama rakan sukarelawan yang lain dari Sibu Wharf ke Sempili dengan menggunakan bot ekspres yang mengambil masa selama 6 jam setengah.

Menelusuri Sungai Rajang, saya kembali terdetik, betapa sukarnya kehidupan mereka di sini berbeza sekali dengan di Semenanjung Malaysia.

Malah biarpun tanpa akses jalan darat ke Kapit, aktiviti harian penduduk tetap lancar seperti biasa dengan hanya melalui jalan air.  Tiba di tebing Sempili, tiada jeti khas untuk penumpang turun naik, hanya sekeping papan yang menjadi titi.

Setelah barang-barang selesai ditempatkan di dalam lori, kami menaiki kenderaan pacuan empat roda (4-Wheel Drive) menuju ke Kampung Tunoh. Perjalanan mengambil masa sejam setengah.

Cikgu Mizi

Pengembaraan kami disapa mesra oleh alam sekitar yang menghijau. Sungguh, saya dapat merasakan ini bakal menjadi pengalaman yang paling bermakna dalam hidup saya.

Nun jauh di kaki Bukit Mabong, di tengah hutan yang menghijau, ada komuniti yang menunggu kedatangan kami, ada masyarakat yang perlu kami bantu.

Semangat saya makin berkobar untuk menggembleng tenaga bersama para sukarelawan yang lain dan memberikan yang terbaik sepanjang bersama komuniti di sana.

Sepanjang berkhidmat bersama komuniti Iban di Kampung Tunoh, saya bertemu dengan seorang guru dari Semenanjung Malaysia. Saya memanggilnya Cikgu Mizi.

Cikgu Mizi (berbaju biru) bersama komuniti Kampung Tunoh. Dia bukan sahaja guru kepada anak murid sekolah tetapi juga kepada komuniti setempat.
Cikgu Mizi (berbaju biru) bersama komuniti Kampung Tunoh

Anak jati dari Kedah Darul Aman ini sudah 10 tahun berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Sungai Tunoh. Jiwanya seolah-olah sudah sebati di Tanah Bujang Senang ini.

Sekolah ini dikategorikan sebagai Pedalaman 3. Ditanya tidakkah dia mahu pulang ke Semenanjung, jawapannya cukup ringkas – dia cukup seronok berbakti untuk masyarakat pedalaman walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Masyarakat di sini sangat menyanjungi dan menghormati para guru dan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak sekolah. Ikatan persaudaraan sesama mereka bagai aur dengan tebing.

Dalam diam saya mengagumi semangat perpaduan mereka. Walau jauh dari kemajuan kota, mereka hidup gembira dalam kesederhanaan.

Menghayati jiwa komuniti pedalaman

Selama dua minggu di Kampung Tunoh, saya telah dipertanggungjawabkan untuk menggalas amanah sebagai penggerak program pendidikan untuk kanak-kanak sekolah rendah.

Berbekalkan sumber yang sangat terhad, sukarelawan bekerjasama dengan pihak sekolah merangka aktiviti menarik untuk pelajar. Tidak dapat dinafikan sesekali air mata saya mengalir melihat keseronokan anak-anak ini mempelajari ilmu baharu.

Antara pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah apabila seorang murid menunjukkan gambar jambatan Pulau Pinang di dalam buku teksnya dan dalam nada sayu berkata, “Cikgu, saya hanya mampu menatap gambar ini, dan tidak mungkin mampu menjejakkan kaki ke sana.”

Hati mana yang tidak terusik mendengar kata-kata anak kecil itu. Anak kecil yang polos, saya doakan kejayaan kamu pada suatu hari nanti, semoga menjadi anak bangsa yang berguna.

Kebanyakan anak-anak di kampung ini mempunyai cita-cita yang tinggi, ada yang mahu menjadi guru, tidak kurang juga yang mahu menjadi anggota keselamatan negara dan atlet negara.

Mendidik anak-anak dan komuniti setempat

Sesekali ada waktu terluang, saya bersembang dengan Cikgu Mizi untuk cuba memahami lebih mendalam tugas seorang guru di pedalaman.

Menurutnya, tugas mereka sebagai guru bukan sekadar menyampaikan ilmu kepada murid-murid tetapi turut mendidik komuniti setempat. Mereka sentiasa diingatkan betapa pentingnya pendidikan dalam mengubah masa depan keluarga.

Perjuangannya sebagai seorang guru tidak akan pernah terhenti kerana dia ingin melihat lebih ramai anak pedalaman keluar dari kepompong kehidupan yang sedia ada dan mencapai kejayaan sama seperti mereka yang lain. Keterbatasan fizikal geologi bukanlah penghalang untuk mereka bersaing dengan dunia luar.

Dapat saya simpulkan, menjadi seorang guru itu bukanlah sekadar pekerjaan semata-mata tetapi secara analoginya, guru ibarat pelukis masa depan negara.

Semangat waja Cikgu Mizi dalam mendidik anak bangsa benar-benar menginsafkan saya. Walaupun jauh dari kemajuan kota, sedikit pun dia tidak berputus asa malah tetap komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya.

Tersuntik semangat baharu

Sesungguhnya, pengalaman turun padang untuk melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat walaupun setelah 57 tahun negara mencapai kemerdekaan pada ketika itu, menyuntik semangat baharu dalam diri saya.

Bertitik tolak dari saat itu, saya berazam untuk sentiasa menyumbang tenaga kepada mereka yang memerlukan, demi masa depan Malaysia tercinta.

Bertepatan dengan tema Hari Guru 2018, ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan‘, semoga warga pendidik di Malaysia terus cemerlang mendidik anak bangsa.

Budi luhur kalian tidak akan sekali kami lupakan, panggilan keramat “cikgu” akan kekal terpahat, menjadi kenangan ke akhir hayat.

TERIMA KASIH, CIKGU!

 

https://leaderonomics.com/bm/artikel/guru-ibarat-pelukis-masa-depan-negara

Leave a Reply