KENYATAAN MEDIA YAYASAN SUKARELAWAN SISWA (YSS)

by admin / 27 February 2019 / No Comments

PUTRAJAYA-Rabu, 27 Februari 2019 – Bagi pihak sepuluh Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Amanah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang akan menamatkan tugas mulai esok (khamis 28 Februari 2019), saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana memberi peluang kepada kami untuk  membina dan melahirkan Pemimpin Sukarelawan di kalangan siswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ke peringkat serantau dan persada dunia.

Setelah tujuh tahun melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Kabinet, kami menyerahkan baton YSS kepada barisan pimpinan baru yang dipengerusikan oleh Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye untuk meneraju YSS ke tahap yang lebih tinggi.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan YSS ke-7, mengumumkan barisan lembaga pengarah  YSS yang baru.

Dr Maszlee mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada barisan kepimpinan YSS yang berjaya meletakkan yayasan itu pada satu tanda aras yang membanggakan.

Beliau juga mengumumkan penganugerahan “ANUGERAH TOKOH PEMBINA YAYASAN SUKARELAWAN SISWA” kepada saya sebagai tanda mengenang jasa dan bakti sewaktu mengemudi YSS.

Saya berasa amat berbesar hati menerima anugerah dan penghormatan daripada Dr Maszlee yang mengiktiraf kerja sukarelawan YSS yang bermula daripada sifar hingga lah kepada keadaan hari ini yang mendapat pengiktirafan daripada pelbagai organisasi antarabangsa. Saya berharap kejayaan YSS dari 2012 hingga 2019, sebagaimana dijanjikan oleh Dr Maszlee, dapat dibukukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Setakat ini, YSS telah menerbitkan empat buku laporan penuh YSS berhubung kepada Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals) (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah/ Lembaga Pengarah yang bersama-sama memberi sumbang saran dan bersama-sama turun padang menjalankan kerja sambil mendidik Sukarelawan Siswa dalam misi di Vietnam, Laos, Indonesia selain di Sabah, Sarawak dan beberapa kawasan lain di Semenanjung Malaysia. Ketika banjir, mereka turut sama menyenteng seluar dan meredah air dan selut untuk membantu membersih kawasan dan mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Sejak penubuhannya, YSS telah berjaya melahirkan seramai 1,115 alumni menerusi 38 misi sukarelawan di dalam dan luar negara selain beberapa inisiatif sukarelawan lain seperti Tuition Mission di Sarawak dan Projek #VolunteerWeekend di beberapa perkampungan Orang Asli, sebahagian daripada program pembinaan keupayaan insaniah (capacity building).

Dalam menjalankan misi dalam negara, YSS memberi keutamaan kepada kawasan yang daif dan didiami ramai golongan berpendapatan rendah (B40). YSS juga memilih untuk membantu sekolah-sekolah daif di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Hujung tahun lalu, YSS, melalui tajaan Sekretariat ASEAN di Jakarta, membawa 200 pelajar daripada 10 negara ASEAN dan China menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Sarawak, Malaysia 2018 serentak di sebelas buah lokasi di negeri itu. Ini diikuti dengan penganjuran YSS-ASEAN Volunteer Leadership Development Programme (VLDP) dan Alumni Strategic Retreat (ASR) 2018 di Bangi yang membawa 100 siswa ASEAN dan China serta 100 Siswa Malaysia berkenaan untuk berkongsi inisiatif kesukarelawanan dan kepimpinan mereka di negara masing-masing setelah menyertai Misi-Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN.

Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Amanah yang menamatkan tempoh perkhidmatan mereka ialah  Dato’ Zuraidah Atan (Pengerusi), Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid (Timbalan Pengerusi 1), Datuk Nik Ali Mat Yunus (Timbalan Pengerusi 2), Tan Sri Alimuddin Hj Md Dom, Prof. Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman, Prof. Madya Dr Sopian Bujang, Dr Fairuz A’shikin Abd Kadir, Michael Teoh Su Lim, Mohd Hafiz Ariffin dan Mohd Al Farid Bin Abraham.

Dato’ Zuraidah Atan,
Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang menamatkan perkhidmatan.

PUTRAJAYA.

 27 Februari 2019

Leave a Reply