PKP: YSS agih ‘pek bujang’ kepada mahasiswa

by admin / 21 April 2020 / No Comments

KUALA LUMPUR: Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) memberi sumbangan ‘pek bujang’ kepada lebih 1,000 mahasiswa yang berada Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui ‘Do-Nation Project bu YSS: Feed The Love’.

YSS dalam kenyataannya berkata, pek mengandungi makanan kering seperti mi segera, minuman tiga dalam satu dan biskut itu mula diagihkan kepada 1,213 mahasiswa di beberapa IPT di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Bantuan ini adalah sumbangan daripada ‘Dana Kita’ kepada YSS bernilai kira-kira RM20,000 untuk disalurkan sebagai keperluan mahasiswa mengharungi PKP di IPT.

“YSS melaksanakan inisiatif ini dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu mahasiswa yang terkesan akibat PKP sejak 18 Mac lalu,” katanya di sini, hari ini.

Pada masa sama, pihak YSS berkata, proses agihan ini membabitkan tiga fasa bermula minggu lalu iaitu pengumpulan, pembahagian dan penyerahan barang sumbangan sehingga esok.

Katanya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, turut terbabit dalam sesi pembungkusan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mazlan Yusoff; Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Tan Sri Lee Lam Thye, dan Setiausaha Agong NGO Dana Kita, Dr Wan Ahmad Faiz.

Leave a Reply