Sukarelawan YSS jalankan aktiviti khidmat komuniti di Sabah

by admin / 16 November 2019 / No Comments

KOTA KINABALU: Seramai 100 sukarelawan tiba di Kota Marudu, Pitas dan Kudat, semalam, untuk melakukan aktiviti khidmat komuniti bersama penduduk anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Melalui Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah, tahun ini, aktiviti berkenaan akan membabitkan enam lokasi sasaran.

Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata yayasan itu mahu masyarakat di bahagian utara Sabah turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan programnya.

“Sejak penubuhan YSS, kita sudah ke kawasan selatan, timur dan barat dalam misi di Sabah.

“Justeru, tahun ini, kita memilih bahagian utara Sabah pula,” katanya pada majlis pelancaran program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gana, Kota Marudu, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Perhubungan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Sukimi Soyoh; Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Kota Marudu, Tony Francis; dan Guru Besar SK Gana, Jasni Bining.

Majlis pelancaran diadakan serentak di enam lokasi terbabit, hari ini, dengan sukarelawan terbabit akan tinggal bersama masyarakat setempat.

Mereka sekali gus akan menyelami cara hidup dan budaya masyarakat di Sabah, serta melaksanakan aktiviti sukarelawan selama dua minggu di lokasi masing-masing.

Lam Thye turut berharap sukarelawan berkenaan akan menjaga nama baik YSS, Kementerian Pendidikan dan institusi masing-masing dengan menitikberatkan keselamatan serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat setempat, terutama dalam bidang pendidikan.

“Gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk mencurah bakti kepada masyarakat melalui kepelbagaian latar belakang pendidikan masing-masing, selari konsep ‘pembelajaran melalui pengalaman’.

“Pembabitan siswa dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat membantu usaha melahirkan golongan pelajar yang progresif, dinamik dan berkeupayaan tinggi dalam menguruskan kepelbagaian serta berani menangani cabaran.

“Ini sejajar matlamat YSS untuk melahirkan sukarelawan siswa global dan menjadikan Malaysia hab sukarelawan. Sabah dan Sarawak adalah lokasi strategik untuk belajar mengenai integrasi yang mana rakyat kedua-dua negeri ini terdiri daripada pelbagai etnik tetapi hidup harmoni serta bersatu padu,” katanya.

Misi ke Sabah adalah penutup untuk tahun ini sebelum diakhiri dengan penganjuran satu lagi aktiviti YSS, iaitu Program Pembangunan Kepimpinan Sukarelawan (VLDP) pada 3 hingga 7 Disember depan.

Leave a Reply