100 sukarelawan YSS curah bakti di Sabah

by admin / 12 November 2019 / No Comments

PUTRAJAYA: Seramai 100 sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) daripada universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) akan mencurah khidmat bakti apabila berkampung selama 17 hari di Sabah, bermula Khamis ini.

Misi kali ini adalah aktiviti penutup tirai 2019 dengan program diadakan sehingga 29 November ini.

Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sukarelawan akan mencurah khidmat bakti berdasarkan enam kluster iaitu pendidikan, pembangunan komuniti, kesihatan dan perubatan, agribio dan alam sekitar, teknologi maklumat dan keusahawanan sosial serta pengurusan krisis dan bencana.

Beliau berkata, dalam melahirkan ikon sukarelawan yang unggul, ia memerlukan latihan berbentuk membina jati diri makaYSS menyediakan program ini berteraskan konsep “Immersion” dan memberi perkhidmatan.

“Melalui kaedah “Immersion” berkonsepkan “Eat, Live, Breath with Community“, sukarelawan siswa akan makan, menetap bersama dan merasai cara hidup komuniti di lokasi sasaran.

”Selaras dengan platform pengalaman dan pembelajaran, modul kepimpinan kesukarelawanan yang dilaksanakan bersifat praktikal untuk melahirkan pemimpin sukarelawan. YSS memantau dan mengenal pasti impak dan kepimpinan sukarelawan siswa di lapangan,” katanya pada Majlis Pelancaran & Flag Off Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah 2019 di sini hari ini.

Sukarelawan Siswa yang terpilih akan berkampung di enam buah lokasi di tiga daerah iaitu Pitas, Kudat dan Kota Marudu.

Bagi Daerah Kudat, Kampung Maliyu Sekolah Kebangsaan Padang, Pulau Banggi dan Kampung Dampirit di Sekolah Kebangsaan Dampirit di daerah Kota Marudu pula Kampung Linagkahan di Sekolah Kebangsaan Gana dan Kampung Tanjung Batu Laut di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu.

Di Pitas pula, Kampung Bawang di Sekolah Kebangsaan Bawang dan Kampung Malubang di Sekolah Kebangsaan Malubang.

Lam Thye berkata, apabila misi berakhir, sukarelawan siswa pula wajib membentangkan laporan impak dan hasil misi dalam sesi Post-Mission pada tiga hari terakhir misi.

“Kita percaya, sukarelawan siswa yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan kemahiran akan menyumbang bakti kepada kumpulan sasaran dan seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada anak kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata budaya kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda perlu diperhebatkan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan bahawa semua sukarelawan siswa akan menetap bersama keluarga angkat selama dua minggu di Sabah iaitu di Daerah Kota Marudu, Kudat dan Pitas. Saya percaya, semua sukarelawan siswa akan berhadapan dengan kefahaman budaya yang berbeza.

“Bukanlah mudah bagi mahasiswa negara ini menyesuaikan diri dengan masyarakat berbeza budaya, ideologi dan agama, apatah lagi untuk tinggal sebumbung dengan mereka pada satu jangka waktu yang panjang.

”Namun, kejayaan 45 misi YSS sejak penubuhan yang lalu membuktikan bahawa semua itu bukanlah menjadi halangan besar untuk menjayakan misi dan melahirkan mahasiswa yang siap sedia bersatu padu dan hidup harmoni dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Leave a Reply